RAMAINYA PENDUDUK SUNGAI PETANI 500 RIBU ORG?
KEDUDUKAN Sungai Petani berada dalam daerah Kuala
Muda, di bahagian tengah Kedah, merupakan negeri di utara Semenanjung
Malaysia dan jaraknya kira-kira 50 kilometer dari ibu negeri, Alor
Setar.
Difahamkan, Sungai Petani mula pesat membangun pada awal abad ke-20 dan
sehingga kini masih mempunyai banyak tinggalan sejarah termasuk
bangunan unik yang masih kukuh walaupun pembangunan rancak berkembang di
sekitarnya.
Antara yang menjadi ikonik Sungai Petani ialah Menara Jam Besar yang
menjadi mercu tanda pusat bandar dan juga bangunan Hongkong Shanghai
Bank di mana kini menempatkan Bank HSBC dengan seni ukiran lama yang
terletak di laluan utama tengah-tengah pusat bandar menjadikan ia mudah
untuk ditemui.
Masih kekal utuh, bangunan Polis Diraja Malaysia yang dahulunya
merupakan Balai Polis Sungai Petani namun kini menempatkan Pejabat
Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis
Daerah Kuala Muda.
Binaan strukturnya yang unik dan menarik mengingatkan tentang seni bina
lama bangunan yang sudah pasti memikat sesiapa sahaja yang melihatnya.
Asal usul nama
Pengumpul sejarah lisan, Rosini Hashim berkata, pada umumnya terdapat
beberapa pendapat yang dikemukakan bagaimana Sungai Petani mendapat
namanya.
“Antara pendapat yang boleh dikaitkan ialah melalui aktiviti perdagangan khususnya kehadiran pedagang dari Pattani.
“Dalam masa sama, kegiatan perdagangan menggunakan pengangkutan laut
melalui Sungai Merbok telah menarik lebih ramai pedagang untuk singgah
dan membuka penempatan baru.
“Difahamkan, penempatan yang dibina mereka merangkumi kawasan pesisiran
sungai yang sering menjadi laluan perdagangan,” katanya.
Diceritakan, penempatan yang pada mulanya hanya dihuni oleh beberapa
pedagang sahaja menjadi persinggahan lebih ramai pengunjung seterusnya
berminat menetap di situ, yang akhirnya telah berkembang di mana jumlah
penduduk juga semakin bertambah.
Lama-kelamaan, perkampungan itu dikenali sebagai Sungai Pattani dan
apabila dikaitkan dengan nama lokasi tersebut, disesuaikan pula dengan
sebutan pada hari ini, maka ia terkenal sebagai Sungai Petani.
Namun, menurut Rosini, terdapat beberapa versi tentang wujudnya nama
Sungai Petani, antara lainnya diambil daripada anak sungai yang mengalir
dari sungai utama Sungai Badur atau dikenali sebagai Sungai Merbok
sekarang.
“Versi lainnya pula ialah dikatakan berasal dari bahasa Sanskrit
Perthini iaitu nama seorang wanita yang bermaksud wanita murni, wanita
ini kemudian dikaitkan dengan kisah puteri kepada Raja Merong
Mahawangsa,” katanya.
Sementara itu, Faizul Nasron, 36, berkata, banyak nama tempat di
sekitar Sungai Petani mempunyai sejarah tersendiri yang boleh diterokai,
unik, menarik dan menggambarkan penceritaan di sesuatu kawasan
tersebut.
Antaranya Sungai Pasir, Sungai Layar, Sungai Jagung, Tikam Batu, Bujang, Semeling dan Merbok.
“Juga difahamkan dahulunya, Sungai Merbok merupakan laluan kapal dagang
besar dan menjadi pusat perdagangan antarabangsa selain beberapa pusat
pentadbiran yang dikatakan wujud membuktikan ia menjadi tumpuan tamadun
awal manusia,” katanya
Kepadatan penduduk cecah 500,000
Selain itu, Muhammad Abdul Hamid, 37, berkata, sektor perumahan mula
berkembang pesat sejak tahun 1990-an sekali gus menunjukkan pertumbuhan
ketara selain menjadi tumpuan pelabur hartanah berlumba-lumba
membangunkan projek perumahan di bandar Sungai Petani.
“Dalam masa sama, kepadatan penduduk mencecah 500,000 di daerah Kuala
Muda menjadikan pertumbuhan Sungai Petani cepat berkembang, termasuk
pembinaan pusat perniagaan baru dan projek perumahan terancang.
“Bagaimanapun, banyak projek perumahan dibangunkan agak jauh sikit dari
pusat bandar, kemungkinan tiada tapak atau kekosongan yang boleh diisi
menjadikan penempatan yang baru dibuka dibangunkan di pinggir bandar,”
katanya.
Muhammad mencadangkan agar pembinaan rumah pangsa boleh diperbanyakkan
terutama di pusat bandar Sungai Petani bertujuan menampung keperluan
penempatan penduduk yang semakin meningkat.
Selain kedudukan strategik bersempadan Kulim dan Pulau Pinang, Sungai
Petani dilihat berpotensi menerima tempias pertumbuhan ekonomi dan
kepesatan di kedua-dua bandar
KREDIT:SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment